Tadau Kaamatan (Pesta Menuai)
Pesta Kaamatan atau nama lain iaitu (Tadau Kaamatan) atau
di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas
untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah
amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini
biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan
oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad
Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.
Asal Usul Megavau
Menurut
cerita lisan, Kinoingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang
bernama Huminodun. Untuk
menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak
mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak
kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut
adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan
berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang.
Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat
Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi
itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".
Bermula
dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan
(Pesta Menuai) seperti yang dirayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini
mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara
penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan
telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai (Tangkob) iaitu bekas tempat
menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita
akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan
Penciptanya (Kinoingan) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun
untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.
No comments:
Post a Comment